Saturday, December 26, 2009

Cuti-Cuti Bajet 1 (Tanjung Piai dan Air Terjun Gunung Pulai)

"Janji pukul 8, gerak pukul 9.30", ungkapan yang diulang sesama kami berenam, saya, pali, faizal, fuad, nisa, dan pendatang baru yang juga buah hati pali, siti semasa dalam perjalanan ke restoren sarapan paling popular dikalangan penuntut UTM, Restoren Aminah. selepas mengalas perut dan mengkagumi keupayaan pekerja-pekerja restoren itu mengambil tempahan palanggan tanpa pen dan kertas, kami ke hujung benua asia (bunyi seakan jauh).

Singgah di rumah pemandu pelancong, encik ghazali yang ingin dikenali sebagai 'abang jaluk', kami sempat menonton wayang senario di televisyen sambil mata sekali-sekala menjeling ke dapur, mengharap adik perempuan abang jaluk atau salah seorang daripada sepupu perempuannya akan melintas. mana tahu ada yang belum berpunya. bolehlah dikenalkan pada faizal.

Matahari tepat di atas kepala, kacamata hitam tepat di atas mata. satu kamera di tangan saya, satu lagi di tangan nisa. kami berjalan di celah-celah hutan paya bakau dengan alasan mencari bahan untuk projek sarjana muda. terhibur dengan reaksi segelintir pengunjung di situ yang kagum dengan kebolehan ikan belacak atau di kampung saya lebih dikenali sebagai 'mud-skipper' menyusur di antara akar pokok bakau. fuad dan faizal jelas tampak gembira.



Kami ke bahagian yang paling menarik di dalam lawatan kami ini iaitu penghujung benua asia. terdapat sebuah pelantar yang jelas berfungsi sebagai lokasi bergambar bagi pelancong-pelancong jakun seperti nisa. lalu kami yang melabelkan diri kami semua sebagai pelancong untuk tidak melepaskan peluang bergambar dengan batang-batang besi di atas pelantar itu.

Makan. nisa seperti samar-samar dan tidak ada idea untuk makan apa pada tengahari itu dengan hanya menyebut perkataan 'sama' selepas saya menempah nasi putih ayam sambal, dan tren ini terikut-ikut oleh siti dan pali.

Destinasi terakhir: air terjun gunung pulai. hampa dan terkilan setelah sampai di destinasi yang tidak membenarkan pengunjung mandi di kawasan yang pernah menjadi tarikan suatu masa dahulu. ada kawat duri merentasi hutan dan sungai yang menghadkan pengunjung. tetapi mereka ini degil-degil orangnya. maka, faham-faham sajalah.

terima kasih kepada pemandu pelancong, abang jaluk. terima kasih kawan-kawan.

0 comments:

Post a Comment